Tuesday, August 19, 2014

TERKINI : PAS putuskan ingin kekal dengan Pakatan, bukan tenggelam dengan Khalid


TERKINI : PAS putuskan ingin kekal dengan Pakatan, bukan tenggelam dengan Khalid


SUARA LANTANG: Selepas mesyuarat mengenai krisis MB Selangor selesai, Pakatan Rakyat kekal utuh walaupun imejnya jelas tercalar.




Keputusan timbalan presiden PKR Azmin Ali mengundur diri daripada dicalonkan ke jawatan tersebut mengelakkan perpecahan di antara PAS dengan PKR. Parti Islam itu mencalonkan Azmin bersama-sama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mesyuarat PAS Pusat sebelum itu dengan sebulat suara mendapati Khalid tidak lagi dianggap calon terbaik memimpin kerajaan negeri Selangor. Bagaimanapun, PAS turut mencalonkan Azmin sebagai pemimpin yang layak mengisi jawatan tersebut.

Mujurlah, Azmin dengan rendah diri mengelakkan masalah berlaku dengan menyatakan pendiriannya menyokong Datuk Seri Wan Azizah Ismail

PAS masih belum boleh selesa. Imejnya telah terjejas di mata para pengundi dan bakal mengalami kekalahan sekiranya pilihanraya negeri diadakan bagi memilih 56 ahli dewan undangan negeri yang baharu.

Namun, langkahnya mencalonkan Azmin tentu disambut dengan rasa teruja oleh timbalan presiden PKR itu.

Kini, Khalid perlu menantikan keberangkatan pulang DYMM Sultan Selangor dari luar negara pada 27 Ogos ini.

Bersama-sama ADUN daripada Umno, Khalid masih boleh mengeruhkan keadaan dengan membubarkan Sidang DUN serta membuka laluan bagi pilihanraya diadakan.

Yang pasti keadaan ini mampu dielakkan daripada tercetus. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah berkata PKR punyai hak menentukan siapa yang paling layak di kalangan ahli partinya bagi mengisi jawatan MB Selangor.

Kerana itu, selepas PRU13 yang lalu, PAS dan DAP menyokong pencalonan Khalid. Secara logiknya, PKR boleh juga mencalonkan pemimpin lain yang dianggapnya sesuai.

Keadaan tersebut turut disaksikan di negeri-negeri lain pimpinan Pakatan. Jadi mengapa secara tiba-tiba PAS mahu menentukan siapa yang paling layak di kalangan ahli PKR bagi dilantik ke jawatan MB Selangor?

Sekiranya DYMM Sultan Selangor menolak pencalonan Wan Azizah, terpulanglah kepada PKR bagi menampilkan calon lain.

Namun PAS bertegas tidak mahu Wan Azizah dicalonkan.

Adakah PAS dan Khalid bekerjasama di dalam mengekang Anwar dan isterinya?

Sekiranya pilihanraya negeri diadakan, PAS dan Khalid bakal kalah teruk; Khalid kerana kebenciannya terhadap Azmin, PAS kerana pengundi bakal menolaknya bulat-bulat.

Ternyata PAS paling mengecewakan.

Pengundi bukan Islam, dan umat Islam berpendidikan, dahulu menyokongnya kerana berimej bersih, adil dan berdaya maju.

Pembelotan yang dilakukan PAS amat mengejutkan dan ia bakal menerima padahnya.

Bukan mudah untuk para pengundi melupakan episod ini.

Mengapa PAS bersikap sebegitu? Apa yang mahu dicapainya dengan mencalar keyakinan pengundi terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor?

Mengapa Jawatankuasa PAS Pusat berlengah-lengah di dalam mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kemelut yang meruncing ini?

Mereka mungkin enggan berterus-terang tentangnya.

Sokonganya terhadap Khalid telah menjadikan MB itu berani di dalam tindakannya.

Walaupun akhirnya PAS menolak kepimpinan Khalid, nasi sudah bertukar menjadi bubur.

Ramai yang hairan bagaimana kerajaan yang meraih lebih daripada 2/3 majoriti boleh lumpuh akibat kemelut MB itu.

PAS sebenarnya pernah memberi gambaran tentang sikapnya yang gemar mensabotaj PKR di kerusi Kota Damansara tahun lalu. Akibatnya PKR kekurangan satu kerusi DUN.

Kini ia hendak meranapkan kerajaan Selangor melalui pembelotan.

PAS telah insaf, namun gabungan Pakatan Rakyat terdiri PKR/DAP/PAS tidak akan pulih kembali.

Khalid masih mampu menasihati DYMM Sultan Selangor agar membubarkan Sidang Dewan Undangan Negeri.

Jika itu, berlaku habislah riwayat PKR dan PAS.

Umno bakal mengambil kesempatan berikutan apa yang berlaku hari ini.

Sekurang-kurangnya empat ahli majlis eksekutif masih kekal bersama Khalid bagi mengelakkan mereka digantikan barisan exco Umno.

Ada di kalangan mereka yang berkata, tindakan mereka sebagai benteng mempertahankan kerajaan Pakatan — dan bukannya pembelotan.

PAS mungkin telah memutuskan mahu kekal dengan Pakatan dan tidak tenggalam bersama-sama Khalid, tetapi buat masa ini Khalid masih mampu menentukan nasib negeri termaju di Semenanjung itu.

- theantdaily

Sumber: SuaraInsan

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive