SEMENJAK mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria pada 2010, Raja Farah telah membuat keputusan untuk mengurangkan aktiviti seninya.
Kata pemilik nama penuh Raja Farah Raja Aziz ini, dia lebih mengutamakan keluarga berbanding soal kariernya.
Begitu pun, setelah hampir empat tahun hidup berdua dengan suaminya, timbul bibit-bibit kesunyian di hatinya sekali gus membuatkan pelakon berusia 26 tahun itu mempertimbangkan semula keputusannya sebelum ini.
"Sehingga kini, saya dan suami masih lagi belum dikurniakan anak seterusnya menyebabkan saya mula berasa keseorangan.
"Jadi, timbul idea untuk saya kembali aktif semula berlakon dan dia (suami) pula mengizinkan saya.
"Namun, masih ada garis panduan yang perlu saya ikuti sebagai seorang wanita yang sudah berkahwin," katanya pada Zass.
Dia yang kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Salju Sakinah bergandingan dengan aktor, Yus Waisar untuk TV Al Hijrah (saluran 114) mengakui sudah bersedia untuk membuat kemunculan semula.
"Saya memang sudah menguar-uarkan kepada semua produksi termasuk penerbit mengenai perkara ini.
"Drama 13 episod ini adalah 'job' pertama saya untuk menuju ke arah tersebut," katanya.
Selain itu, Raja Farah juga baru saja tamat kontrak sebagai pengacara program, Rasa Halal Antarabangsa musim ke-9 dan 10 untuk Astro Oasis (saluran 106).
"Saya baru saja tamat menjalani penggambaran bagi program tersebut.
"Tetapi, saya sangat berbesar hati sekiranya pihak Astro masih memerlukan khidmat saya sebagai pengacara," katanya.
Kerap berjauhan, Raja Farah jawab isu rumah tangga bergolak
Kekerapan pelakon dan pengacara, Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz yang dilihat sering keluar ke mana-mana keseorangan tanpa bertemankan suaminya, Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria menimbulkan spekulasi yang 'bukan-bukan' mengenai mahligai yang dibina, sejak empat tahun lalu.
Bahkan, ada pula ura-ura yang mengatakan rumah tangga pasangan ini sedang retak menanti belah.
Begitu pun, teraju utama filem Salon ini menafikan semua spekulasi dan khabar angin yang bertiup kencang tetapi mengakui dia kini sedang berjauhan dengan suaminya lantaran tuntutan tugas masing-masing.
"Sejak tahun 2011, saya dan suami sudah sering berjauhan kerana suami adalah jurulatih selam skuba di Pulau perhentian, Terengganu manakala saya pula menetap di Kuala Lumpur.
"Tapi, sejak Januari lalu, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Pasir Mas, Kelantan kerana mahu lebih dekat dengan suami.
"Tahun lepas adalah waktu paling genting dalam hubungan kami kerana kami sering berjauhan. Sehingga ada pada satu ketika, pernah dua bulan kami tidak sempat berjumpa.
"Jadi, orang melihat saya jarang bersama suami dan lebih banyak keluar bersendirian atau ditemani ibu, kemudian timbul macam-macam andaian. Saya mohon, doakanlah yang terbaik untuk kami sekeluarga," katanya.
Katanya, adatlah sekiranya ada berlaku perselisihan faham di antara mereka suami isteri, tetapi itu tidaklah bermakna ia sehingga membawa kemudaratan kepada mereka berdua.
"Banyak konklusi boleh dibuat dan orang juga boleh kata apa saja, cuma apabila ia berkaitan dengan hal peribadi, saya lebih suka mendiamkan diri.
"Jika ada yang ingin tahu, datang bertanya dan saya boleh menceritakannya.
"Alhamdulillah, setakat ini, saya dan suami tiada apa-apa masalah besar yang boleh membawa kepada keputusan yang tidak diingini," katanya yang berhasrat untuk menetap kembali di Kuala Lumpur.
Masih menanti cahaya mata
Hampir empat tahun usia perkahwinannya, namun Raja Farah dan suami masih belum dikurniakan cahaya mata.
Sebenarnya itulah yang dinantikan oleh pelakon berusia 26 tahun itu bersama suami sejak sekian lama.
Namun dengan kesibukan masing-masing mereka cuma mampu berserah kepada ALLAH SWT.
Raja Farah menjelaskan, dia dan suami sememangnya inginkan cahaya mata tetapi masih belum mempunyai rezeki lagi.
"Saya dan suami memang sedang berusaha ke arah itu. Kami sudah mencuba pelbagai rawatan sama ada secara tradisional mahu pun moden.
"Saya anggap masih belum ada rezeki daripada Yang Maha Esa.
Semua dugaan itu diambil oleh pelakon filem Lagenda Budak Setan itu dengan positif. Apa yang penting, sikap memahami dan mengambil berat menjadi salah satu keistimewaan yang ada pada suaminya.
Dalam pada itu, Raja Farah juga tidak menafikan dakwaan bahawa dia dan suaminya sedang berusaha untuk mendapatkan seorang anak angkat buat penyeri hidup mereka berdua.
"Sebelum ini, kami hampir mengambil seorang anak angkat lelaki tapi mungkin ALLAH SWT tidak mengizinkan apabila pada waktu sama saya mendapat tawaran berlakon drama di Johor Bahru.
"Jadi, saya risau tidak mampu memberikan sepenuh tumpuan kepada bayi itu. Tapi sekarang suami saya serius sedang berusaha untuk mendapatkan anak angkat lain untuk kami," katanya.
Raja Farah Collection
Dalam perkembangan lain, pelakon filem Anak Halal ini memberitahu dia kini tidak lagi menjalankan perniagaan snogurt yogurt beku, sejak 15 Ogos lalu.
"Sebab utama kepada penutupan perniagaan terbabit adalah apabila tiada siapa hendak menguruskannya lagi.
"Lebih-lebih lagi, saya kini sudah berpindah ke Kelantan manakala ahli keluarga yang lain sibuk dengan tuntutan tugas masing-masing," katanya.
Begitu pun, pelakon drama Annisa masih lagi bergelar usahawan setelah kembali aktif dalam menjalankan perniagaan menjual busana Muslimah.
"Buat masa ini, perniagaan saya itu akan bergerak secara online melalui laman sosial Facebook dan Instagram." akhirinya.
Sumber: um-fabulous
0 comments:
Post a Comment