Monday, August 18, 2014

Hina Sultan di akaun Twitter

Hina Sultan di akaun Twitter

Rizam bersama-sama kepimpinan Pemuda Umno Bahagian Sabak Bernam menunjukkan salinan laporan polis terhadap satu akaun laman sosial Twitter yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


SABAK BERNAM – Pemuda Umno Bahagian Sabak Bernam membuat laporan polis terhadap satu akaun laman sosial Twitter yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam petang kelmarin itu meminta pihak berkuasa terbabit menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun laman sosial berkenaan.

Ketua Pemudanya, Rizam Ismail berkata, laporan polis itu dibuat ekoran status akaun Twitter berniat jahat yang menghina Sultan Sharafuddin secara berkias dengan tujuan menghasut rakyat agar mempercayai tuduhan terbabit.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbabit dan meminta polis dan Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan berhubung kenyataan itu yang boleh menjejaskan institusi kesultanan di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Rizam berkata, polis dan Jabatan Peguam Negara seharusnya mencontohi negara jiran, Thailand dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak dan individu yang menghina institusi Raja.

“Kalau di Thailand, sudah tentu individu terbabit dijatuhkan hukuman berat. Kita patut mencontohi Thailand kerana mereka begitu taat kepada Raja,” katanya.

Menurut beliau, perbuatan individu terbabit secara tidak langsung turut mengguris hati dan perasaan rakyat Selangor yang begitu menghormati institusi Raja.

“Kenyataan yang dikeluarkan pemilik akaun laman sosial ini adalah tindakan menderhaka dan tidak menghormati Sultan Selangor serta institusi Raja yang ada di negara ini.

“Kami mahu polis menyiasat perkara ini kerana ia mempunyai agenda tertentu mahu menjatuhkan institusi Raja serta berniat jahat untuk membangkitkan kemarahan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan pemilik akaun laman sosial mengenai Sultan Selangor itu amat celupar dan berniat jahat.

“Baginda adalah sultan yang berjiwa rakyat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu sungguh biadab dan perlu dihukum mengikut undang-undang dengan sewajarnya,” katanya.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun terbabit dan didakwa mengikut saluran undang-undang sedia ada.

Sumber: SinarHarian

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive