PENTINGNYA SARAPAN PAGI
Masih ramai di kalangan masyarakat yang tidak tahu kepentingan bersarapan pagi. Antara alasan yang sering kita dengar apabila ditanya mengapa tidak bersarapan adalah kerana tiada selera makan atau bimbang kenaikan berat badan. Ada juga tanggapan menyatakan bahawa sarapan pagi akan menyebabkan seseorang lebih mengantuk dan kurang daya tumpuan.
Sama ada berselera atau tidak, jangan sesekali tinggalkan sarapan pagi. Ibarat kata pepatah, ‘alah bisa, tegal biasa’. Sesuatu perkara yang dipraktikkan setiap hari akan menjadi rutin harian. Untuk itu, mulakan sarapan pagi mulai sekarang. Ini kerana ia berperanan membekalkan tenaga kepada tubuh badan bagi melakukan aktiviti harian yang sibuk.
Antara manfaat yang diperoleh melalui sarapan pagi adalah:
1)MEMENUHI NUTRISI YANG DIPERLUKAN
Hidangan terbaik untuk sarapan pagi adalah yang mempunyai karbohidrat atau berserat tinggi. Makanan seperti oat, bijirin dan roti gandum amat sesuai dijadikan hidangan pada waktu pagi kerana ia membekalkan tenaga dan tidak cepat lapar.
2)KURANGKAN BERAT BADAN
Sarapan pagi dengan perut yang masih kosong akan mempercepatkan pembakaran kalori secara lebih efisien.
3)TINGKATKAN DAYA TUMPUAN
Ketika anda bangun pagi, sebahagian besar tenaga dalam bentuk glukosa dan glikogen telah digunakan pada hari sebelumnya. Oleh itu, pengambilan makanan yang berglukosa diperlukan untuk menjana perkembangan otak dan daya tumpuan. Tanpa glukosa, anda akan berasa letih dan kurang tumpuan terhadap kerja yang dilakukan.
4)CEGAH SAKIT JANTUNG
Kandungan serat yang diperoleh daripada bijirin dapat menyerap kolesterol yang terdapat di dalam badan. Penyerapan kolesterol ini sekali gus mengurangkan tahap kolesterol yang boleh membahayakan kesihatan.
TIP
Selain manfaat tersebut, Nona ingin berkongsi beberapa tip sihat khas buat anda yang sentiasa mengelak untuk bersarapan pagi.
· Ambil hidangan yang mempunyai kandungan serat, protein dan kalsium. Hidangan seperti bijirin sudah cukup untuk sarapan pagi.
· Jika anda seorang yang sibuk, sentiasa bawa sekeping roti dan susu sebagai hidangan pagi sebelum melangkah ke pejabat.
· Hidangan telur juga baik sebagai sajian pagi anda. Vitamin dan mineral yang terdapat di dalamnya membantu memberi nutrisi yang diperlukan oleh badan.
· Jika anda kurang berasa lapar pada pagi hari, cuba untuk tidak makan selepas pukul 8.00 malam pada hari sebelumnya. Keesokan pagi, anda pasti berasa lapar.
Sumber: Nona
0 comments:
Post a Comment